mutakhir

Rugi RM70,000

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Pasir Mas: Seorang pembekal ayam laga kerugian hampir RM70,000 selepas kira-kira 450 ayam laga yang diternak di Kampung Kedondong di sini dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) baru-baru ini.

Mohd Zaki Abdul Rahman, 46, berkata, 250 anak ayam dan 200 ayam laga itu terpaksa dilupuskan untuk mencegah penyebaran wabak selesema burung yang mula dikesan di negeri ini sejak 6 Mac lalu.

Katanya, pada masa sama, ratusan telur ayam laga yang masih belum menetas turut dimusnahkan.

“Pada mulanya, hanya seekor ayam laga mati secara tiba-tiba. Saya kemudian membuat laporan kepada JPV untuk pemeriksaan lanjut sebelum ia disahkan berpunca daripada wabak selesema burung.

“Mereka memaklumkan terpaksa melupuskan semua ayam berkenaan untuk mengelakkan penyebaran wabak itu. Biarpun berdepan kerugian mencecah RM70,000, saya reda semua ayam laga kesayangan itu dilupuskan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia mula menternak ayam laga beberapa tahun lalu untuk dibekalkan di sekitar negeri ini dan dijual pada harga sekitar RM150 seekor bergantung kepada jenisnya.

Sehubungan itu, Mohd Zaki berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan lebih tinggi terhadap setiap ternakan yang dilupuskan.

“Nilai RM10 untuk setiap ternakan dilupuskan agak rendah. Bukan mudah nak bermula semula kerana perniagaan ini dimulakan dengan duit poket sendiri dan kini duit pusingan modal terjejas selepas ternakan dilupuskan.

“Harapan saya kerajaan dapat pertimbangkan semula ganti rugi berkenaan dan menyediakan insentif kepada penternak yang terjejas untuk memulakan semula perniagaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2017 @ 5:18am
d