mutakhir

Ajal terjatuh dalam parit

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seorang pekerja kontrak maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit di Rancangan Tanah Felda Chiku 5, dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam, Mohamad Sharul Azrin Che Manan, 25, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, jam 8.39 pagi kelmarin akibat parah di kepala dan badan. Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Papan di sini, kelmarin.

Ibunya, Siti Rupawan Taib, 47, berkata, dia terkejut selepas menerima panggilan dari Klinik Kesihatan Bandar Chiku di sini memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

“Pegawai itu meminta saya terus ke Hospital Kuala Krai (HKK). Sebaik menerima panggilan saya terus bergegas ke hospital berkenaan dan mendapati anak saya masih tidak sedarkan diri.

“Selepas itu dia dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, ketika di HUSM, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, arwah baru memperoleh rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Baru dan bercadang untuk berpindah ke sana dalam masa terdekat.

“Arwah sempat berjumpa saya di rumah kampung sebelum bertolak ke tempat kerja pada pagi sebelum kejadian namun tidak menunjukkan perubahan. Bagaimanapun, dia sempat berpesan kepada isterinya supaya menunggunya untuk makan malam bersama,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2017 @ 5:27am
d