mutakhir

Pensyarah tanpa ijazah

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: “Saya belajar tidak tinggi. Universiti saya hanyalah hutan manakala pensyarah saya adalah Orang Asli,” kata Roslan Abu Kassim, 53.

Dia adalah pemandu arah yang berpeluang menyampaikan ucapan mengenai alam sekitar dan keistimewaan Taman Negara ketika usianya 29 tahun di Universiti Kantonsschule Zurcher Oberland, Switzerland, selepas pengetahuan luasnya itu menarik perhatian seorang profesor di universiti berkenaan yang ketika itu datang sebagai pelancong.

“Saya tidak sangka lelaki itu seorang profesor sehinggalah dia menyatakan hasrat menjemput saya berucap di universiti tempatnya bekerja dan sanggup mengirimkan duit kapal terbang selain menyediakan segala persiapan di sana.

“Ketika berada di sana, perkara tidak boleh dilupakan ketika saya berucap dalam bahasa Inggeris yang terbatas dengan dibantu tayangan slaid.

“Namun, saya terharu kerana penuntut di sana teruja dengan cerita mengenai Taman Negara sehingga ada dalam kalangan mereka berkunjung ke sini tiga tahun selepas mendengar ucapan saya itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Tahan, di sini.

Terdahulu, bapa kepada tiga anak itu berpeluang menjadi wakil Malaysia bagi pameran pelancongan ke World Travel Mart (WTM) di London dan Internationale Tourismus-Börse Berlin (ITB) di Berlin, Jerman, sekitar 1990-an serta pameran pelancongan di negara ASEAN selain menjadi wakil untuk Pameran Burung Antarabangsa di Ratland, England, tahun lalu.

Lebih membanggakan, dia pernah terpilih sebagai jemputan dalam rancangan di saluran National Geographic iaitu ‘River Monster’ dua kali pada 2010 dan 2016.

Roslan yang juga Pengerusi Persatuan Pencinta Taman Negara berkata, pencapaian dikecapinya itu adalah berkat kesungguhan dan minat mendalam terhadap alam semula jadi.

“Semua ilmu dan pengalaman yang ada ini saya peroleh daripada Orang Asli. Mereka adalah ‘guru’ terbaik dalam mempelajari pelbagai ilmu kehidupan, selok-belok hutan dan tumbuhan.

“Teori semua orang boleh belajar namun untuk pengalaman kita perlukan bahan sebenar dan menghadapinya sendiri,” katanya.

Roslan berkata, dia mula terjebak secara tidak langsung dalam dunia hijau selepas bapanya meninggal dunia ketika usianya 15 tahun.

“Ayah renjer hutan dan saya sering mengikutinya masuk ke hutan sehingga mahir dengan selok-belok ilmu hutan.

“Apabila ayah meninggal (dunia), saya berulang-alik dan kadangkala tinggal bersama Orang Asli di sana (Taman Negara) untuk lebih mengenali alam semula jadi memandangkan ketika itu saya bekerja sebagai pemandu arah,” katanya.

Menurutnya, jika Taman Negara tercalon dalam program Community Based Tourism (CBT) iaitu pembabitan masyarakat dalam sektor industri ekopelancongan, dia berpeluang sekali lagi menjadi wakil berucap dalam program itu di negara ASEAN pada tahun ini.

Disiarkan pada: March 20, 2017 @ 8:10am
d