mutakhir

Ini bukan lawak lagi! [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Penghasilan karya komik tempatan pertama sudah berusia lebih 80 tahun dan mungkin fakta ini tidak ramai yang tahu.

Majalah komik Warta Jenaka hasil seni M Nor Awang adalah yang pertama dihasilkan dan mula dipasarkan pada 2 November 1936 dengan dialognya menggunakan tulisan jawi.

Kualiti komik dan kartun yang diterbitkan semakin lama semakin baik mengikut peredaran zaman dengan penghasilan majalah Gila-Gila, Batu Api, GeliHati, Ujang, Apo, Gempak dan pelbagai lagi.

Bagi menghargai jasa kartunis tanah air, diwujudkan Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani Perdana di ibu kota dan akan dibuka secara rasmi pada 1 April ini.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar, 52, atau lebih dikenali sebagai Juragan berkata, RKKM diwujudkan sebagai tapak pameran 500 karya hasil tangan lebih 50 kartunis tempatan.

“Semua karya yang dipamerkan adalah asli daripada beberapa kartunis terkenal negara dan kami melalui pelbagai kepayahan untuk mengumpul karya asli berkenaan. Kami mengambil masa enam bulan untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun, cabaran paling getir adalah untuk membaik pulih karya berkenaan yang sudah rosak tulisannya,” katanya, semalam.

Juragan berkata namun pihaknya optimis, apa yang penting adalah seni lukisan tangan kartunis akan menarik pengunjung berbanding tulisan atau dialog dipaparkan.

“Antara karya yang dipamerkan terdiri daripada koleksi Lat, Gila-Gila, GeliHati, Batu Api, Kampung Boy dan Dan Den Don, Salina dan banyak lagi yang menjadi fenomena luar biasa apabila jualan majalah mencecah ratusan ribu naskhah.

“Malah, hasil pengumpulan karya kami lebih mudah kerana mendapat sokongan pelbagai pihak terutama syarikat penerbitan itu sendiri,”katanya.

Menurutnya, cetusan idea untuk kartunis mempunyai sebuah rumah untuk mengabadikan kenangan karya masing-masing tercetus ketika berlangsungnya Majlis Anugerah Kampung Boy 2015, dua tahun lalu.

“Jika penulis mempunyai persatuan sendiri dinamakan GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Nasional) kenapa tidak kartunis menerima pengiktirafan sama.

“Alhamdulillah semua pihak banyak membantu kami dalam mewujudkan RKKM terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberikan kami lokasi strategik yang menjadi tumpuan pelancong,”katanya.

Juragan berkata, pihaknya menerima sambutan hebat daripada pelukis lama dan baharu yang memberi sokongan selain memberi idea bagaimana mahu mencorakkan rumah itu.

“Mungkin selama ini mereka (kartunis) sudah lama rasa terbiar di luar sana, kali ini dapat penghargaan memiliki ruang pameran dan rasa dihargai,”katanya.

Juragan yang juga pelukis kartun di akhbar ini berkata, tanggal 1 April setiap tahun akan diisytiharkan sebagai Hari Kartunis Malaysia.

“Ini sebagai penghargaan kepada kartunis yang banyak menyumbang dalam industri, tapi kurang dihargai seperti artis seni yang lain.

“Malah, pada hari itu kita akan menghimpunkan semua kartunis lama yang aktif 50-an hingga 60-an untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam menghasilkan karya berkualiti,”katanya.

Menurutnya, mereka turut menghimpunkan beberapa nama besar dalam penghasilan majalah terkenal, Gila-Gila iaitu Jaafar Taib, Zainal Buang Hussin, Azman Yusof, Rejabhad, Tarzidi, Nan, Fatah Ngah, Kerengge, Reggie Lee, Don, Zamri Abu, Rossem, Imuda dan Long.

“Selain itu, kita akan raikan ikon kartunis pada 1 April nanti sebagai penghargaan dalam menyumbang kepada industri seni negara.

“Malah, kita menyeru waris kepada beberapa kartunis lama untuk tampil kepada yayasan supaya perhubungan dijalin lebih erat sebagai satu keluarga,”katanya.

Sementara itu, kartunis yang popular dengan kartun Tarzan dan Malang Si Kancil, Tazidi Yusof, 58, berkata, tidak sangka impiannya untuk mempamerkan karya seni akhirnya tercapai selepas wujudnya RKKM.

“Ini sebagai penghargaan kepada kartunis seperti kami untuk menunjukkan hasil seni masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2017 @ 8:17am
d