mutakhir

Malaysia, Qatar tangani pengganas

Kuala Lumpur: Malaysia dan Qatar bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), dalam hubungan ketenteraan bagi menjalin kerjasama lebih strategik termasuk menangani ancaman pengganas Daish.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setakat ini kementeriannya hanya mempunyai HLC dengan empat atau lima negara saja dan kerjasama dengan Qatar dapat memperkukuhkan lagi hubungan ketenteraan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia akan berkongsi perancangan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSIPC), dengan Qatar dan bagaimana negara itu dapat memainkan peranannya dengan efektif bagi menangani pengganas Daish.

“Kita akan berkongsi hal ehwal risikan dan saya sudah arahkan pihak perisikan kita untuk meningkatkan pertukaran maklumat ini.

“Kita juga akan mengadakan latihan ketenteraan secara bersama meliputi tentera darat, udara dan laut,” katanya dalam sidang media majlis menandatangani Surat Penyata Niat antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) yang diwakili beliau dan Kementerian Hal Ehwal Pertahanan Qatar diwakili Menterinya, Dr Khalid Mohamed A Al-Attiyah di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Duta Besar Qatar ke Malaysia Mohamed Al-Mannai.

Hishammuddin berkata, hubungan strategik itu juga membabitkan pihak industri yang mana Qatar turut melihat peluang dalam bidang ketenteraan di Asia Tenggara dan Malaysia bagi memasuki pasaran negara Arab.

Katanya, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 menjadi peluang keemasan untuk Malaysia dan Qatar membantu industri pertahanan masing-masing serta diteruskan dengan lawatan Raja Qatar ke Malaysia tidak lama lagi.

Disiarkan pada: March 20, 2017 @ 8:20am
d