mutakhir

Kenangan termanis

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Tidak dapat digambarkan perasaan dua pasangan pengantin di Kampung Panchor, di sini, tatkala melihat kelibat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melangkah masuk ke pekarangan rumah mereka, semalam.

Majlis perkahwinan itu bertambah meriah dengan tetamu teruja melihat kehadiran pemimpin nombor satu negara.

Di sebalik jadualnya yang padat, Najib tetap meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan dua beradik, Yuzry Fazly Ahmad Jamili, 28, dan Nor Aniza Abdul Rahman, 28, serta Yudie Fazly, 33, dan Nur Ain Mohamad Radzai, 33.

Perdana Menteri yang tiba pada jam 1.48 tengah hari meluangkan masa kira-kira 10 minit menepung tawar dan beramah mesra dengan pasangan pengantin terbabit.

Yuzry Fazly berkata, majlis pernikahannya dengan Nor Aniza yang juga Ketua Penerangan Puteri UMNO Pekan berlangsung pada Jumaat lalu manakala abangnya, Yudie Fazly bernikah dengan pasangannya pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Persidangan Serentak Cawangan dan Sayap UMNO Bahagian Pekan 2017 meminta rakyat menyelidik setiap tuduhan dilemparkan pembangkang bagi mengelak kepentingan mereka dan negara tergadai pada masa akan datang.

Katanya, pembangkang sering menyebarkan tuduhan tidak berasas sebagai modal kempen setiap kali menjelang pilihan raya dan rakyat perlu peka dengan setiap maklumat diterima.

“Dalam agama Islam kita diingatkan supaya selidik berita terutama disampaikan orang fasik supaya tidak timbul fitnah dan buruk sangka kepada orang lain.

“Kita boleh lihat banyak contoh berita tidak benar yang dibuat pembangkang pada pilihan raya yang lalu seperti isu kilang Lynas di Kuantan dan pengundi hantu,” katanya.

Menurutnya, pembangkang sebelum ini begitu lantang menabur fitnah kononnya kadar radiasi kilang Lynas tinggi hingga boleh membahayakan penduduk namun selepas lima tahun, kadar radiasi di bandar Kuantan lagi tinggi berbanding di kawasan sekitar kilang Lynas itu sendiri.

“Begitu juga dakwaan kononnya kita bawa 40,000 warganegara Bangladesh untuk pilihan raya umum lalu, ini tidak betul sama sekali, jika kita mahu bawa seramai itu orang Bangladesh, kita perlukan kira-kira 1,000 jet jumbo (pesawat),” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2017 @ 8:22am
d