mutakhir

Hasil usaha sebulan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Persiapan selama sebulan membuahkan hasil membanggakan bagi Wan Muhammad Azim Wan Zain, 17, yang mewakili Kelantan, apabila muncul johan kategori matematik Pertandingan Akhir Olympiad Sains dan Matematik peringkat kebangsaan di dewan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini, semalam.

Naib johan kategori matematik disandang Muhammad Hafizuddin Mahmood dari Sarawak, diikuti Syamil Sazally dari Negeri Sembilan di tempat ketiga.

Johan kategori sains milik pelajar dari Wilayah Persekutuan, Shahida Hamzah, manakala naib johan, Mohd Safaraz Addi Shiful Rizal Voon dari Sarawak dan ketiga, Muhammad Zuhairi Yusri dari Pahang.

Seramai 84 pelajar tingkatan lima mewakili 14 negeri menyertai pertandingan kali kedua anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN), membabitkan acara individu dan berpasukan.

Wan Muhammad Azim yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan berkata, dia tidak menyangka bergelar juara kerana bersaing dengan ramai peserta lebih hebat.

“Sebelum pertandingan, saya hanya berjanji kepada guru dan rakan untuk memberikan yang terbaik, tidak lebih daripada itu dan akhirnya impian menjadi nyata.

“Saya bersyukur dengan kejayaan hari ini (semalam) yang dianggap permulaan terbaik sebelum mewakili negeri ke peringkat antarabangsa,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Bagi Shahida yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur berkata, kejayaan itu hasil kesungguhan dan minat dalam mata pelajaran sains.

“Kebanyakan soalan fizik, kimia dan biologi pada pertandingan akhir Olympiad kali ini saya pelajari tahun lalu ketika tuisyen. Kelebihan itu digunakan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik.

“Saya berpuas hati dan bersyukur dengan kejayaan tidak pernah diimpikan, pencapaian itu menjadi hadiah kepada urusetia yang menaruh harapan untuk membawa pulang piala kejuaraan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Johan individu membawa pulang hadiah RM1,000, piala, sijil emas dan sijil penyertaan, tempat kedua menerima RM700 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga meraih RM500 dan sijil penyertaan.

Disiarkan pada: March 20, 2017 @ 8:33am
d