mutakhir

'Selagi hidup anak tinggal bersama'

Johor Bahru: “Selagi saya hidup, saya akan pastikan anak-anak tinggal bersama keluarga demi keselamatan mereka,” kata penghidap barah tiroid tahap empat, Saripah Palichok, 32.

Saripah berkata, dia menghargai cadangan beberapa pihak supaya anaknya dimasukkan ke asrama kerana menyedari kesulitan dialaminya selepas diserang barah manakala suaminya, Mohd Nasir Mat Jusoh, 45, koma di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Namun, menurutnya, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berpisah dengan tiga anak perempuannya berusia lima tahun hingga 14 tahun, walaupun buat masa ini mereka terpaksa tinggal di rumah ibunya di Bakar Batu berhampiran Permas Jaya.

Katanya, sekiranya ada pihak yang ingin membantu, dia mengharapkan sumbangan bekalan dapur bagi menampung keperluan anaknya bagi meringankan beban ibunya yang berusia 60-an.

“Saya tidak pernah berniat untuk menyusahkan ibu tetapi saya fikir buat masa ini, rumahnya adalah tempat paling sesuai bagi anak-anak saya.

“Anak sulung sudah pandai memasak tetapi dia bersekolah dan tidak mungkin dapat menjaga adik-adiknya. Sebagai ibu, saya juga bimbang kerana tidak dapat memberi tumpuan kepada anak kedua yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini kerana saya tidak pulang ke rumah, saya hanya memberi semangat kepada anak menerusi telefon supaya mereka rajin belajar,” katanya.

Saripah yang bekerja sebagai tukang jahit sebelum ini berkata, dia bersyukur kerana kisah keluarganya menerima perhatian pelbagai pihak termasuk Pasaraya Econsave yang menyampaikan sumbangan lampin pakai buang dan susu khas disyorkan doktor untuk suaminya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Saripah di talian 010-3060057.

Disiarkan pada: March 20, 2017 @ 8:34am
d