mutakhir

Pahit manis bos kastam

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Pegawai kastam diancam dan diserang, malah ada yang terbunuh disifatkan antara kenangan pahit dilalui Datuk Seri Khazali Ahmad sepanjang empat tahun setengah menerajui kepemimpinan sebagai Ketua Pengarah Kastam.

Kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim pada 26 April 2013 antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan Khazali yang menyandang jawatan itu belum sampai setahun selepas dilantik pada 22 Jun 2012.

Bagaimanapun, Khazali berkata, ia tidak mematahkan semangatnya serta warga kastam yang lain untuk meneruskan tanggungjawab memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

“Itu adalah satu pengalaman pahit kerana apabila sesuatu begitu buruk berlaku, untuk perbetulkan situasi berkenaan agak sukar.

“Jadi, saya merasakannya pahit namun bagi saya banyak kenangan manis apabila berada di jabatan ini (terutama) apabila kita berjaya memberi sumbangan kepada negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Paluan Berundur di pekarangan Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), di sini, semalam.

Khazali berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada jabatan, perkhidmatan awam dan negara.

Pada masa sama, beliau berkata, antara kejayaan penting sepanjang memimpin jabatan itu adalah keupayaan melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa bermula 1 April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Ia (pelaksanaan GST) begitu baik dan lancar sekali dan sekiranya dikatakan jabatan ini gagal melaksanakannya dengan baik, perubahan atau transformasi pada sistem percukaian negara tidak mungkin dapat berlaku.

“Justeru, saya mewakili seluruh warga JKDM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut sama membantu melaksanakan sistem percukaian terbaik ini,” katanya.

Selain itu, Khazali berharap kastam akan meneruskan perjuangan dengan melaksanakan yang terbaik dalam tugas mereka serta meletakkan pemikiran dalam kerja untuk mencapai matlamat disasarkan.

“Jabatan ini diharap akan terus maju melaksanakan visi dan misi sebagai pemungut hasil negara kerana slogan saya ialah berkhidmat mensejahterakan rakyat.

“Bagi mensejahterakan rakyat, kita harus ada kutipan hasil yang baik supaya rakyat dapat diberikan segala kemudahan dan bantuan. Jadi, saya juga berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas kepercayaan beliau kepada saya menerajui jabatan besar ini,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, perkara itu ditentukan oleh kerajaan dan beliau tidak mengetahui individu yang bakal menyandang jawatan berkenaan.

Berhubung pengumuman Perdana Menteri mengenai kerajaan akan meneruskan keputusan mengkorporatkan JKDM, Khazali berkata, usaha ke arah itu sedang giat dijalankan pihak jabatan berkenaan.

Khazali, 62, secara rasmi menamatkan perkhidmatannya, semalam.

Beliau sepatutnya bersara pada 2015, namun kontrak itu disambung selama tempoh setahun enam bulan.

Permulaan karier beliau sebagai penjawat awam pada 1 Disember 1981 sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berada dalam perkhidmatan kerajaan selama tempoh 36 tahun.

Disiarkan pada: March 21, 2017 @ 8:31am
d