mutakhir

Aplikasi Cambridge

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Ujian Pencapaian Cambridge (CATs) akan diperkenalkan tahun ini sebagai satu kaedah tambahan pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan terutama dalam kalangan murid dan pelajar luar bandar.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek rintis bagi kaedah pembelajaran yang menggunakan aplikasi dalam talian ini akan dilaksanakan hujung tahun ini membabitkan 40 sekolah rendah dan menengah di luar bandar yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

“Program ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi selepas melihat keberkesanan projek rintis berkenaan.

“Langkah ini antara strategi Kementerian Pendidikan untuk membantu meningkatkan penguasaan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di luar bandar,” katanya pada sidang media Majlis Penerangan Strategi Pelaksanaan Pendidikan bahasa Inggeris Ke Arah Kemenjadian Murid di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab, Pengerusi Eksekutif Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Mahdzir berkata, reka bentuk CATs dibangunkan CMEDT dan ia sedia dilaksanakan, malah guru subjek bahasa Inggeris juga akan diberi latihan di Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC).

“CATs akan mengukur kebolehan murid dan pelajar menggunakan bahasa Inggeris sama ada dengan membaca, menulis dan mendengar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ELTC Dr Mohamed Abu Bakar berkata, program pembelajaran itu mempunyai sembilan tahap pembelajaran dan pelajar akan melalui ujian bagi mengukur penguasaan mereka.

Disiarkan pada: March 21, 2017 @ 8:35am
d