mutakhir

Ecah sedia tanding angkat berat

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Siti Nuraisyah Sahrin, 13, atau Ecah yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kejadian 18 Januari tahun lalu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk pemilihan Kejohanan Powerlifting Sirkit Akhir Kebangsaan 2017 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Ecah yang dibimbing jurulatih sukarela, Muhammad Nor Arif Abdullah berada di pusat sukan itu mulai kelmarin hingga hujung minggu ini dan sesi pemilihan itu dijalankan mulai hari ini.

Kali ini Ecah akan bertanding dalam sukan angkat berat kategori 35 hingga 45 kilogram.

Ecah berkata, dia bersedia untuk pemilihan itu selepas menjalani latihan hampir empat bulan di bawah kendalian Muhammad Nor Arif yang juga bekas atlet negara.

“Saya bersedia untuk bertanding dalam kejohanan ini dan pingat perak yang saya menangi baru-baru ini turut menjadi pembakar semangat saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya sebelum bertolak ke Kampung Pandan.

Pada 17 Disember lalu, Ecah berjaya memperoleh pingat perak dalam kategori wanita 50 kilogram (kg) dan berjaya melepasi angkatan 37kg selain menjadi peserta termuda serta wakil tunggal Selangor.

Kemenangan itu menaikkan semangat Ecah selain sebagai persediaan dirinya menghadapi pemilihan ke Sukan ASEAN Para Games di Kuala Lumpur, akhir tahun ini serta sasaran melepasi kelayakan seterusnya untuk beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ecah berkata, dia perlu menjalani latihan dengan lebih gigih dan teratur bagi memastikan dirinya layak seterusnya berpeluang menyertai temasya sukan berprestij itu.

Disiarkan pada: March 21, 2017 @ 8:55am
d