mutakhir

38 negara 'bertempur' [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Langkawi: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA 2017) yang bermula hari ini hingga Sabtu depan berjaya menarik lebih 550 syarikat pempamer dari 38 negara yang sudah mengesahkan penyertaan.

Acara tahunan merangkumi dua segmen iaitu pameran aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat dan segmen maritim di Tanjung Malai, di sini.

Ketua Perhubungan Awam Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Leftenan Kolonel Salawati Yahaya berkata, seramai 500 petugas media dari pelbagai agensi membuat pendaftaran untuk membolehkan mereka membuat liputan.

“Semua petugas media sebelum ini disaran mendaftar secara dalam talian untuk memudahkan proses pendaftaran,” katanya.

Sementara itu, seorang penuntut tahun empat Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Nurul Annisha Alias, 24, berkata, dia terpanggil membantu penganjur LIMA 2017 selepas membaca iklan pengambilan sukarelawan yang tular dalam media sosial.

“Saya dan beberapa rakan segera menghantar permohonan secara dalam talian kepada penganjur dan Alhamdulillah, kami terpilih sebagai sukarelawan.

“Saya mula bertugas di MIEC sejak Jumaat lalu dan tugas saya akan berakhir Sabtu depan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi sukarelawan, Nurwanim Borhan, 24, dari Universiti Teknologi MARA turut teruja kerana dipilih penganjur sebagai sukarelawan bagi melancarkan perjalanan pameran dwitahunan itu yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sebenarnya saya bersama beberapa rakan menghantar permohonan menjadi sukarelawan secara suka-suka saja dan tidak sangka pula kami terpilih untuk bertugas di sini.

“Sebelum ke MIEC, saya dan beberapa rakan sudah menjalani sesi temuduga di Kuala Lumpur dan diarahkan penganjur bertugas sebagai sukarelawan hingga Sabtu ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2017 @ 9:12am
d