mutakhir

Kurung burung

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Sejak beberapa minggu lalu, peniaga burung di sini ‘mengurung’ haiwan peliharaan mereka termasuk memberikan vitamin dan ubat antivirus bagi mengelak jangkitan wabak selesema burung.

Wabak virus Avian Influenza (H5N1) itu mengancam enam daerah di Kelantan dengan 28 lokasi disahkan positif H5N1, setakat ini.

Peniaga, Nazirah Mazlan, 30, berkata, rutin hariannya terganggu disebabkan bimbang wabak itu menjangkiti burung dan ternakan lain di kedainya di sini.

“Saya menjual 200 burung pelbagai jenis termasuk tekukur, budgie (Budgerigar), merpati dan kakak tua. Ada juga ayam serama dan arnab, bergantung permintaan pelanggan.

“Tipu kalau saya cakap tidak bimbang dengan wabak itu, apatah lagi sejak ia menular, tidur pun tak lena kerana teringatkan semua haiwan saya.

“Disebabkan itu, saya pastikan haiwan saya sentiasa dikurung dalam keadaan sihat, diberi air yang cukup bersama ubat antivirus dan vitamin (tiga hari sekali).

“Itu yang termampu setakat ini, malah sangkar pun saya bersihkan setiap hari supaya tiada penyakit,” katanya di kedainya di Berek 12, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengetahui ada kawasan sekitar kedainya dijangkiti wabak itu namun bernasib baik haiwan peliharaannya tidak terbabit.

Dia bersyukur perniagaannya tidak terjejas teruk akibat wabak itu dan permintaan terhadap burung masih ada walaupun berkurangan.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini (semalam) unggas di kedai ini belum dijangkiti dan masih sihat seperti sebelum wabak dikesan.

“Saya tahu ramai yang takut memiliki burung ketika ini namun saya terimanya dengan hati terbuka kerana wabak yang menular sukar dihalang,” katanya.

Sehingga kini, 28 kampung di Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tanah Merah dikesan dijangkiti virus selesema burung dan lebih daripada 33,000 burung dan 13,000 telur unggas dilupuskan.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 7:08am
d