mutakhir

Tiga lelaki miliki 70 ketul ganja ditahan

Ipoh: Polis menahan tiga lelaki berusia 31 hingga 38 tahun kerana memiliki 70 ketul ganja seberat 69.4 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Cempaka, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, beberapa pegawai Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan siasatan di rumah berkenaan sehingga tertangkapnya suspek di ruang tamu rumah berkenaan.

Sumber berkata, ketika ditahan, seorang daripada suspek bertindak mencampakkan sesuatu ke atas sofa berhampiran tempat dia berdiri.

Katanya, pemeriksaan dijalankan menemui anak kunci berserta alat kawalan jauh kereta Toyota Avanza di hadapan kawasan rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan Toyota itu menemui ketulan dadah disyaki ganja yang dibalut plastik lutsinar disembunyikan di beberapa bahagian bawah tengah tempat duduk penumpang, tempat duduk belakang penumpang belakang serta bahagian bonet dan pintu kenderaan berkenaan,” katanya.

Semua suspek warga tempatan didapati negatif ujian air kencing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Ipoh pagi semalam perintah reman dibuat di hadapan majistret Nur Melati Diana Abd Wahab yang membenarkan tempoh tahanan bagi membantu siasatan terhadap tiga suspek bermula semalam sehingga 27 Mac ini.

Dalam pada itu, Ketua JSJN Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandaran mengesahkan kes itu dan sidang media akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 7:18am
d