mutakhir

Rompak, bermalam rumah jiran

Melaka: Jiran tak boleh harap. Itu ungkapan sesuai untuk empat lelaki yang bukan saja melarikan perabot dan barangan elektrik, malah bermalam selama seminggu di pangsapuri milik jiran mereka yang dipecah masuk.

Menurut sumber, perbuatan suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun itu disedari pemiliknya selepas pulang ke rumahnya di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, Ahad lalu.

Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 12.30 tengah hari selepas mendapati set perabot bilik tidur, alat pendingin hawa, peti sejuk dan periuk nasi elektrik hilang selain keadaan di dalam rumah berselerak.

Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah melancarkan gerakan mengesan suspek.

“Hasil maklumat risikan, polis menyerbu dua unit kediaman di pangsapuri sama dan menahan keempat-empat suspek dua jam selepas menerima laporan daripada mangsa.

“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek yang ditahan masih berada dalam pengawasan pihak polis.

“Tiga suspek ditahan di pangsapuri yang disewa manakala seorang lagi rakan mereka dicekup selepas polis menyerbu rumah ibunya yang terletak di blok bersebelahan.

“Ada antara mereka mengaku bermalam di kediaman mangsa selain melarikan perabot dan barangan elektrik,” katanya.

Difahamkan, polis menemui semula perabot dan barangan elektrik milik mangsa yang kali terakhir pulang ke kediamannya pada 4 Mac lalu berikutan bekerja di Singapura.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan semua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 7:19am
d