mutakhir

Tarik pelajar asing

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin dapat mencapai sasaran lebih 200,000 penuntut antarabangsa yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada masa ini, dianggarkan 150,000 penuntut antarabangsa sedang melanjutkan pengajian di negara ini.

Menurutnya, pelbagai faktor dilihat boleh menarik minat mereka datang ke negara ini antaranya kemudahan disediakan, selain kaedah pendaftaran secara dalam talian yang turut memainkan peranan meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa.

“Justeru, kita yakin jumlah penuntut antarabangsa yang disasarkan dapat melebihi sasaran dengan mengambil kira pembangunan landskap sistem pendidikan Malaysia yang diiktiraf dunia.

“Faktor lain yang dijangka mempengaruhi peningkatan jumlah itu adalah dari segi kemudahan selain Kuala Lumpur sebagai bandar pilihan penuntut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Senegal mengenai kerjasama pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik, semalam.

Senegal diwakili Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Mary Teuw Niane.

Pemeteraian MoU itu adalah langkah positif dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan ia sekali gus terus membuka lebih banyak peluang dan pertukaran pengalaman dalam pelbagai bidang.

Berhubung MoU itu Idris berkata, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada Malaysia untuk terbabit secara langsung dalam pelbagai bentuk kerjasama yang lain dengan Senegal.

“Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 7:29am
d