mutakhir

Tak perlu redah panas

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Selamat, selesa dan cantik. Itu pengalaman yang dirasai pengguna jejantas pejalan kaki dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya ke Wisma Bumi Raya yang mula dibuka secara rasmi, semalam.

Jejantas sepanjang 200 meter itu, lengkap dengan kemudahan eskalator serta ikonik mercu tanda yang menelan kos RM7.2 juta dan siap dibina pada 30 Disember tahun lalu.

Pelancong serta warga kota sebelum ini terpaksa meredah panas dan hujan selain berdepan risiko keselamatan apabila berkongsi laluan dengan kenderaan lain ketika mahu bergerak ke stesen LRT utama di bandar itu.

Usahawan, Mariana Mohd Radzi, 36, berkata, jejantas itu bukan saja memberi keselesaan kepada pengguna malah mempamerkan pemandangan indah terutama waktu malam dengan hiasan lampu berwarna-warni.

“Dari segi keselamatan, ia lebih terjamin kerana kami tidak lagi perlu berjalan kaki di laluan motosikal atau teksi untuk ke stesen LRT Bandaraya.

“Selain itu, pengguna juga berasa selamat pada waktu malam kerana laluan jejantas ini terang dengan lampu serta lengkap dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika ditemui di Wisma Bumi Raya, di sini, semalam.

Menurutnya, jejantas itu juga menjadi tumpuan pelancong serta penduduk kota untuk bergambar dengan berlatar belakang ikonik mercu tanda yang ada di laluan pejalan kaki itu.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang merasmikan jejantas berkenaan berkata, pembinaan jejantas itu mengambil kira konsep ‘Bandaraya Selamat’ yang mana pejalan kaki diasingkan daripada laluan kenderaan lain.

“Syabas kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi menyediakan kemudahan jejantas kepada warga kota dan kemudahan laluan berpagar di tepi jalan bagi menjamin keselamatan serta keselesaan rakyat.

“Cadangan pembinaan jejantas pejalan kaki ini juga tepat kerana dibuat sejurus pembukaan jambatan baru Sungai Gombak dari Jalan Raja Laut ke Jalan Kuching,” katanya ketika ditemui, semalam.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 9:22am
d