mutakhir

'Buntu cari duit' [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: “Saya buntu bagaimana hendak mencari duit untuk membiayai tiga anak yang masih belajar di universiti selepas kedai yang menjadi tempat mencari rezeki dirobohkan.”

Demikian luah seorang ibu tunggal, Sara Bibee Mohamad, 59, selepas gerai kayu di Jalan Mak Mandin, di sini, dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan serta pembinaan rumah di kawasan itu.

Sara Bibee baru kematian suami lima bulan lalu, mengambil alih tugas ketua keluarga menyara tiga anaknya lingkungan 20-an yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya tahu kami hanya menumpang berniaga, namun jangan buat kami seperti ini kerana bukan sehari dua kami berniaga, tetapi lebih 10 tahun bahkan ada yang berniaga hampir 40 tahun di sini.

“Tolong jangan buat kami seperti ini dan saya merayu pihak terbabit menyediakan tempat yang boleh kami berniaga di kawasan ini walaupun dikenakan sewa atau membayar ganti rugi setimpal selepas kedai kami dirobohkan,” katanya mengadakan bantahan di hadapan kedainya, di sini, semalam.

Jelasnya, ada pihak sebelum ini tampil menawarkan janji dengan membayar ganti rugi terhadap peniaga yang kedainya dirobohkan, namun sehingga kini janji itu hanya tinggal janji.

Bagi Zainal Abidin Abdul Rahman, 53, dia berniaga lebih 20 tahun di situ perlu menyara tujuh anaknya yang masih bersekolah, termasuk tiga anak pekerjanya yang tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, katanya, dia buntu memikirkan nasib keluarga selepas kedai dirobohkan apatah lagi tidak mendapat pampasan atau bayaran ganti rugi sewajarnya.

“Sudahlah kedai saya baru beberapa tahun diperbaharui kini dapat dua notis pada 23 Februari dan 16 Mac lalu supaya saya mengosongkan premis dengan segera kerana mereka mahu merobohkannya hari ini (semalam).

“Tidak mahu duduk diam, saya cuba berjumpa beberapa pihak yang terbabit termasuk wakil rakyat kawasan ini, namun mereka tidak mengendahkan saya dan hanya memberi alasan mahu melebarkan jalan utama di hadapan kedai ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng berkata, kerajaan negeri tidak akan membayar sebarang pampasan terhadap peniaga berkenaan berikutan ia tidak tertakluk kepada peraturan yang layak mendapat ganti rugi memandangkan perniagaan yang dijalankan tidak sah walaupun sebahagiannya mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Kerajaan negeri selama ini membenarkan mereka berniaga lebih 40 tahun walaupun mereka tidak memohon Lesen Menduduki Sementara (TOL) yang sepatutnya mereka wajib pohon,” katanya.

untuk menjalankan perniagaan di kawasan ini bagi menjadikan mereka berniaga secara sah.

“Ketika itu, kerajaan negeri membolehkan mereka berniaga kerana tidak mempunyai rancangan untuk membangunkan kawasan itu namun kini dalam proses untuk membina rumah mampu milik yang mana meminta peniaga memberi laluan terhadap projek ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2017 @ 9:43am
d