mutakhir

'Bapa tiba-tiba memohon maaf'

Seremban: “Sebelum bertolak ke Manila bagi perlawanan persahabatan, saya pulang ke rumah bertemu bapa pada 12 Mac lalu. Saya meluangkan masa membersihkan jambangnya dan dia merenung tajam raut wajah saya.

“Keadaan menyentuh hati apabila bapa tiba-tiba memohon maaf dan ia tidak patut berlaku,” kata pemain kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 30 yang ditemui pada pengebumian bapanya, Abd Radzak Salleh, 68, di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Said, semalam.

Mohd Zaquan Adha berkata, ketika menjalani latihan di Filipina, dia dihubungi keluarga memaklumkan bapa meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) jam 4.30 petang, kelmarin.

Katanya, dia diberi kebenaran oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk pulang sebelum tiba di rumah arwah di Taman Rashibah Indah, jam 9 malam.

“Arwah adalah perangsang utama pembabitan saya dan Aidil (Mohd Aidil Zafuan) dalam bola sepak.

“Biarpun dalam keadaan tidak sihat, dia sanggup datang ke Stadium Paroi untuk menyaksikan kami beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan,” katanya yang kini beraksi bersama Perak.

Menurutnya, biarpun reda ketentuan takdir, pemergian arwah akan sentiasa dirindui.

Sementara itu, Mohd Aidil Zafuan mengakui sempat bertemu bapanya empat hari lalu sebelum menerima perkhabaran menyedihkan.

Disiarkan pada: March 23, 2017 @ 11:35am
d