mutakhir

SPAD tahan ulat prebet sapu di KLIA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan seorang lelaki yang terbabit dengan aktiviti mengulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dan pemeriksaan mendapati lelaki terbabit pernah ditahan atas kesalahan sama Ogos 2016.

Berdasarkan rekod, lelaki berusia 38 tahun terbabit pernah didenda RM5,000 atas kesalahan sama.

Jurucakap SPAD berkata, pihaknya menjalankan Ops Khas Parasit di terminal utama KLIA membabitkan 13 penguat kuasa.

“Operasi tertumpu kepada aktiviti memujuk atau mengulat bagi menawarkan perkhidmatan ‘prebet sapu’ kepada orang ramai serta pelancong asing yang tiba di KLIA.

“Hasilnya, kami menahan dua lelaki tempatan bersama kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dan Teksi Bajet disyaki memujuk dengan menawarkan perkhidmatan kereta sapu serta teksi kepada orang awam di sekitar balai ketibaan KLIA,” katanya.

Beliau berkata, harga tambang yang ditawarkan antara RM110 hingga RM120 bagi perjalanan ke ibu kota.

“Suspek pertama berusia 38 tahun menawarkan perkhidmatan menggunakan Toyota Innova dari KLIA ke Regalia Residence, Jalan Sultan Ismail kepada satu keluarga terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak warga tempatan dengan kadar tambang RM110.

“Pemeriksaan mendapati dia pernah dijatuhi hukuman penjara 14 hari serta denda RM5,000 atas kesalahan sama, pada 10 Ogos tahun lalu,” katanya.

Suspek kedua berusia 43 tahun pula menawarkan perkhidmatan teksi dari KLIA ke Puchong kepada keluarga terdiri daripada dua dewasa dan empat kanak-kanak tempatan dengan kadar tambang RM120.

Disiarkan pada: March 23, 2017 @ 11:36am
d