mutakhir

Resolusi pandangan belia TN50

Serendah: Sebagai aspirasi kepada kerajaan dalam melaksanakan pelan Transformasi Nasional (TN50), 18 resolusi diterjemahkan belia yang menyertai program Bila Belia Berbicara (3B) di sini, kelmarin.

Resolusi itu dicapai menerusi persetujuan belia setempat dan perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dilaksanakan.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, resolusi yang dianggap fokus bersasar itu wajar direalisasikan sejajar dengan misi TN50 untuk mencapai aspirasi seluruh belia.

“Ia dilakar dalam konteks terbuka namun lebih fokus bersasar dan bukannya lakaran sembarangan.

Mereka diberi pengiktirafan memeta masa hadapan pada 2050 kelak.

“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya dan ia mengambil kira pandangan belia. Kita tidak mahu apabila tanam padi, lalang pula yang tumbuh,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas program 3B itu di Asrama Kasih (ASKA) YBK, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) Dr Zainah Shariff.

Program berkenaan anjuran IYRES iaitu badan berkanun di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut Zainal, resolusi itu antaranya mencadangkan kerajaan memberi pendedahan dari peringkat sekolah menengah mengenai bidang politik dan isu semasa di negara ini.

“Belia juga mahu bidang pendidikan kemahiran diberi pengiktirafan lebih tinggi hingga ke peringkat sarjana dan sarjana muda supaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diiktiraf sebagai bidang profesional.

“Kerajaan juga perlu membuka peluang kepada mereka melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di luar negara bagi mempelajari kepakaran, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata, resolusi turut menyuarakan tiada lagi warga asing memonopoli sektor pekerjaan kotor, sukar dan bahaya (3D).

Disiarkan pada: March 23, 2017 @ 11:40am
d