mutakhir

Bomba bantu usung jasad lelaki obesiti jatuh di rumah

Georgetown: Seorang lelaki obesiti yang terpaksa diusung anggota bomba ke dalam ambulans selepas sesak nafas dan jatuh di rumahnya di Flat Batu Lanchang, di sini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), malam kelmarin.

Jenazah mangsa Nor Syakirin Ramlan, 32, yang juga anak sulung daripada lima beradik itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, di sini, 11 pagi, semalam.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai berat badan 280 kilogram itu bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Bayan Lepas dan mengambil cuti sakit selama dua hari kerana demam.

Nor Syakirin yang ketika itu berada di ruang tamu rumah mengalami sesak nafas sebelum dua anggota paramedik tiba untuk membuat pemeriksaan.

Namun, ahli keluarganya membuat keputusan menghubungi anggota bomba untuk membawa lelaki terbabit ke dalam ambulans bagi mendapatkan rawatan di HPP.

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital kerana kekurangan oksigen.

Terdahulu, sepasukan enam anggota bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk menurunkan mangsa yang mengalami sesak nafas dan terjatuh di tingkat dua rumahnya jam 9.30 malam.

Disiarkan pada: March 23, 2017 @ 11:43am
d