mutakhir

Lawatan belajar arkeologi

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah tersendiri apabila melancarkan Pakej Arkeopelancongan, di sini, kelmarin.

Pelancaran pakej itu selaras matlamat USM bagi mendekatkan disiplin arkeologi kepada masyarakat pelbagai lapisan usia.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, pakej itu membabitkan dua tapak arkeologi terkenal iaitu di Kota Tampan, Lenggong, Perak dan Sungai Batu, Merbok, Kedah.

Katanya, antara elemen ditawarkan menerusi pakej berkenaan ialah aktiviti lawatan berpandu, ekskavasi, eksperimen pembuatan bata, eksperimen peleburan besi, pembuatan alat batu, penghasilan replika artifak dan lain-lain lagi.

“Tiga pakej ditawarkan kepada orang ramai iaitu lawatan sehari di Galeri Arkeologi, lawatan sehari di Sungai Batu atau lawatan bermalam di Lenggong.

“Pakej itu bermula 1 Mei depan pada kadar harga akan ditetapkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak tertinggi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Mokhtar ditemui di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Penyelidikan Arkeologi USM yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Pada majlis itu, Galeri Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) melalui PPAG menyambut ulang tahun ke-30 Penyelidikan Arkeologi dan Pelancaran Pakej Arkeopelancongan USM.

Turut dirasmikan Galeri Mini Orang Asli, Galeri Arkeobiologi dan pelancaran Buku Koleksi Keratan Akhbar 2012-2016.

Dalam perkembangan lanjut, Mokhtar berkata, semua pakej berkenaan turut disertai jurupandu mempunyai kelayakan berkaitan bidang terbabit dan pelancongan.

Katanya, program seperti itu bukan perkara mustahil atau baru dalam industri terbabit malah dilakukan di negara lain seperti di Eropah.

“Kami bercadang menawarkan pekerjaan jurupandu ini kepada graduan mencari pekerjaan atau menganggur dan mempunyai ijazah.

“Kami masih berbincang dengan pihak terbabit di candi Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat di Thailand bagi meneruskan pakej ini dengan membawa pelancong dari sana, melawat Lenggong dan Sungai Batu dan diharap kita akan menerima maklum balas tidak lama lagi,” kata Mokhtar.

USM adalah satu-satunya universiti di rantau ini yang mempunyai Galeri Arkeologi sendiri mempamerkan kajian dan penemuan pelbagai artifak dari zaman prasejarah selain menempatkan bukti terawal manusia dari zaman Paleolitik, Neolitik dan tamadun awal selepas Logam serta data masyarakat orang asli melalui kajian yang dijalankan PPAG.

Disiarkan pada: March 23, 2017 @ 11:46am
d