mutakhir

Sasar dua Geopark diiktiraf

Gurun: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menyasarkan dua daripada lima calon Geopark Kebangsaan bakal mendapat pengiktirafan terbabit tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mior Sallehuddin Mior Jadid berkata, ada lima geopark dicadangkan iaitu Geopark Jerai, Geopark Lembah Kinta, Geopark Tasik Kenyir, Geopark Kinabalu dan Geopark Delta Sarawak.

Katanya, begitupun hanya dua darinya iaitu, Geopark Jerai dan Geopark Lembah Kinta dijangka mendapat pengiktirafan kebangsaan tahun ini.

“Kita mengharapkan Geopark Jerai dan Geopark Lembah Kinta dapat dicalonkan sebagai Geopark Kebangsaan dan mendapat pengiktirafan itu tahun ini.

“Kedua-dua geopark ini mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri yang berbeza antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspedisi Saintifik Geotapak Jerai Geopark di Havard Suasana Hotel,Bedong, dekat sini.

Seramai 70 peserta daripada pelbagai agensi berkaitan terbabit dalam ekspedisi selama dua hari itu bertujuan mengumpul lebih banyak maklumat berkaitan kawasan geopark di Gunung Jerai.

Mior Sallehuddin berkata, pihaknya kini dalam proses akhir menyediakan laporan penilaian berkaitan Geopark Jerai sebagai dokumen pencalonan kebangsaan untuk dihantar kepada pihak penilai yang kini 95 peratus siap.

“Ekspedisi itu juga antara langkah melengkapkan lagi maklumat sedia ada. Kami temui 25 kawasan geopark di Gunung Jerai dan untuk ekspedisi itu kami kunjungi sembilan kawasan saja antaranya Telaga Tok Sheikh, Sungai Teroi, Sungai Alor Naga dan Puteri Mandi,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2017 @ 11:47am
d