mutakhir

Rumah hangus ketika memasak

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

Machang: Persiapan sekeluarga untuk makan tengah hari bersama terbantut apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Awah dekat Paloh Rawa, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu.

Mangsa, Kasmini Mohd Makhtar, 38, berkata, ketika kejadian dia di dapur sibuk memasak untuk makan tengah hari keluarganya.

Turut berada di rumah adalah ibu mentuanya, Jah Hassan, 78, dan empat anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun.

“Ketika memasak saya dengar jeritan api daripada ahli keluarga yang tinggal bersebelahan rumah menyebabkan saya bergegas keluar dan ketika itu melihat percikan api daripada stor dekat bahagian tepi rumah.

“Saya kemudian menutup suis utama elektrik dan mengangkat tong gas keluar kerana bimbang berlaku letupan. Ketika itu anak dan ibu mentua yang tidak sihat dibawa keluar oleh ahli keluarga lain

“Ketika itu juga, kami berusaha memadamkan api hingga tapak kaki saya melecur sedikit, namun api marak dengan cepat dan merebak ke seluruh rumah. Akhirnya kami keluar dari kawasan itu untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kota Bharu dan pulang ke rumah itu untuk bercuti, reda dengan dugaan yang berlaku.

“Walaupun beberapa dokumen penting, barang kemas dan perkakas rumah tidak berjaya diselamatkan, namun kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.48 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian 28 minit kemudian bersama sebuah jentera dan sembilan anggota.

“Sebaik tiba, didapati api sedang marak malah rumah itu sudah musnah 80 peratus. Masalah air menyulitkan operasi memadamkan kebakaran, namun api dapat dikawal 15 minit kemudian dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2017 @ 9:37am
d