mutakhir

E-Kad dapat sambutan

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Program Enforcement Kad (E-Kad) Sementara Pekerja Asing yang diperkenalkan Jabatan Imigresen (JIM) mendapat sambutan menggalakkan daripada majikan di ibu negara.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Mohd Nasri Ishak berkata, sejak dilaksanakan 15 Februari lalu, pihaknya mengeluarkan 4,382 kad berkenaan.

“Sambutan di Kuala Lumpur amat menggalakkan. Sehingga 22 Mac, 386 majikan sudah berdaftar melalui program ini membabitkan 4,598 pendatang tanpa izin.

“Ia sekali gus menjadikan Kuala Lumpur pusat pendaftaran kedua tertinggi menerima permohonan selepas Ibu Pejabat JIM Putrajaya,” katanya ketika ditemui selepas melawat kaunter pendaftaran program berkenaan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

E-Kad berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi tujuan menggantikan dokumen perjalanan yang sah daripada kedutaan bagi membolehkan warga asing terbabit terus bekerja di negara ini dan selepas mendaftar, majikan dan warga asing itu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.

Ia bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam lima sektor iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Pendaftaran ini dibuka bermula 15 Februari lalu menerusi ibu pejabat dan semua pejabat imigresen negeri di Semenanjung.

Permohonan mendapatkan E-Kad boleh dibuat sehingga 30 Jun ini.

Bagaimanapun, kad ini hanya sah sehingga 15 Februari 2018. Sekiranya majikan belum membuat permohonan dokumen permit kerja dan pasport bagi pekerjanya sehingga tarikh itu, tindakan pengusiran dilaksanakan.

Nasri berkata, purata 184 permohonan diterima setiap hari dan ia adalah percuma.

“Saya menyeru majikan supaya mengambil kesempatan program ini untuk mendaftarkan pekerja asing mereka. Jika enggan, majikan akan dikenakan hukuman dan denda seperti yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2017 @ 9:44am
d