mutakhir

Usah memandai [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak termasuk ejen perisikan Korea Utara untuk menyiasat kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan dilakukan oleh pihak luar adalah menyalahi undang-undang negara sekiranya tidak mendapat kebenaran PDRM.

Katanya, perkara itu perlu bagi memastikan penyiasatan dilakukan pihak luar tidak mengganggu siasatan PDRM.

“Bukan setakat ejen atau perisik, sesiapa saja termasuk pihak berkuasa negara luar yang mahu lakukan siasatan secara berasingan perlu mendapat kebenaran PDRM.

“Ia adalah menyalahi undang-undang (sekiranya dibuat tanpa kebenaran). Mereka tiada kuasa menyoal siasat, melihat dokumen dan sebagainya,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sorento sumbangan Naza Kia Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Kop Mantap Berhad di Bukit Aman.

Sebelum ini, portal berita mendakwa ejen perisik Korea Utara tiba ke negara ini untuk menyiasat kes pembunuhan Jong-nam yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Februari lalu.

Tindakan itu didakwa dibuat selepas Malaysia menolak hasrat Pyongyang menjalankan siasatan bersama kes terbabit.

Mengulas mengenai laporan berkenaan, Khalid mendakwa ia adalah khabar angin yang belum tentu kesahihannya.

Katanya, pihaknya tidak mengetahui bagaimana siasatan terbabit dijalankan ejen berkenaan.

“Polis tidak mengambil tindakan selagi mereka mematuhi undang-undang negara ini,” katanya.

Pada perkembangan sama, Khalid menggesa tiga suspek dikehendaki yang disyaki masih berada di Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, di sini, menyerah diri bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: March 24, 2017 @ 11:42am
d