mutakhir

Farah Marcella mula sibuk mohon IPTA

Johor Bahru: Pelajar daif yang terpaksa tinggal di pusar snuker sebelum diambil sebagai anak angkat oleh seorang guru hingga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, Farah Marcella Bandie, 18, dijangka meneruskan pengajian dalam bidang Pengurusan Pentadbiran atau Pengurusan Perhotelan sekiranya permohonannya diterima institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ibu angkat yang juga guru disiplinnya, Suraya Abdul Rahim berkata, Farah Marcella kini sibuk mengisi beberapa borang permohonan untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dan pada masa sama terpaksa berhenti kerja sementara kerana perlu menjalani temu duga dengan beberapa pihak tertentu.

Katanya, permohonan dibuat mengikut kesesuaian keputusan Farah Marcella dan berharap dia layak diterima masuk bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi keluarganya kelak.

“Buat masa ini, kami memohon ke Kolej Profesional Mara (KPM), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Sudah pasti saya bantu dan memberikan nasihat kepadanya. Pada masa sama Yayasan Peneraju menghubungi kami untuk sesi temu duga pada 1 April depan dan kita akan lihat apa yang terbaik untuknya,” katanya.

Menurutnya, Farah Marcella pada awalnya bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang namun terpaksa memilih pilihan kedua berdasarkan keputusan SPMnya.

Suraya berkata, dia kini sibuk membantu Farah Marcella mengisi borang permohonan namun ada masanya berasa teruja kerana terlalu gembira melihat kejayaan pelajarnya itu.

“Kadang-kadang saya pulak yang terlebih daripada dia sebab terlalu gembira. Saya bersyukur Farah Marcella sentiasa terbuka apabila saya bagi pendapat mengenai kursus yang bakal diambil.

“Alhamdulillah, saya tidak memaksanya namun perlu memberikan pendapat berdasarkan keputusan SPMnya kerana sebagai manusia, kita perlu berpijak di bumi nyata dan sentiasa sedar kemampuan diri sendiri,” katanya.

Farah Marcella memperoleh 6A, 1B+ dan 1C sekalipun hanya belajar secara serius dua bulan setengah sebelum menduduki SPM tahun lalu disebabkan kehidupan keluarganya yang daif.

Selain membantu remaja itu, Suraya turut menubuhkan tabung bantuan untuk digunakan bagi membiayai kos menyambung pengajian dan difahamkan ia kini berjaya mengumpul RM38,729.

Disiarkan pada: March 24, 2017 @ 11:43am
d