mutakhir

Dua lagi diburu

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Bukan saja memecah masuk rumah malah satu kumpulan penjenayah dianggotai lima individu mampu melarikan kereta mewah di kediaman mangsa dengan menghidupkannya menggunakan alat pengimbas frekuensi.

Bagaimanapun, kelicikan penjenayah yang aktif sejak enam bulan lalu berakhir apabila tiga daripada mereka ditahan ketika merancang untuk mencuri kenderaan mewah di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, hasil risikan, anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan tiga suspek terbabit di sebuah inap desa.

“Melalui bantuan anggota Balai Polis Nibong Tebal, kami dapat menahan tiga lelaki yang juga suspek berusia 30 tahun hingga 39 tahun.

“Hasil soal-siasat, kami menemui lima kereta mewah dan pelbagai peralatan pecah rumah serta curi kenderaan daripada suspek,” katanya pada sidang media di IPD Brickfields, semalam.

Beliau berkata, tiga kereta curi berkenaan ditemui di Nibong Tebal dan masing-masing sebuah di Kota Damansara serta Jalan Klang Lama dengan nilai rampasan lebih RM900,000.

“Penjenayah terbabit dengan lebih 10 kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Kuala Lumpur. Taktik digunakan ialah memecah masuk rumah sebelum melarikan kereta mewah sama ada menggunakan kunci asal atau alat pengimbas frekuensi.

“Alat pengimbas frekuensi ini dapat mengesan dan menghidupkan enjin tanpa menghidupkan penggera keselamatan,” katanya.

Menurut beliau, penjenayah mencuri kereta atas permintaan dan tidak fokus di sesebuah negeri saja.

“Kami dapati mereka ke Pulau Pinang untuk mencuri kereta namun ia dapat dipatahkan.

“Kami masih mengesan dua lagi ahli kumpulan terbabit dikenali sebagai Lee Woon Fong yang berusia 36 tahun dan Yeo Yong Kuang yang berumur 33 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2017 @ 8:02am
d