mutakhir

Pengasuh nafi dera budak

Oleh Sarah Zulkifli

Petaling Jaya: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ketika dalam jagaannya di sebuah pangsapuri di Sungei Way, di sini, pada 14 Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Gloria Erren Liwie, 23, berasal dari Sarawak sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia yang mempunyai seorang anak didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian kanak-kanak itu, jam 1 tengah hari dan 4 petang di Blok A Apartmen Impian Baiduri dan dakwaan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V V Suloshani tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan dia mempunyai seorang bayi berusia 11 bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan selain tertuduh dilarang mengganggu saksi dan keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh diarahkan untuk melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan menetapkan 24 April depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian itu, kanak-kanak malang berkenaan didapati tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan tertuduh dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.40 petang ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, akibat didera.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang dan menetap di Sea Park di sini, dikatakan menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh jam 1 tengah hari dan mengambil anaknya tiga jam kemudian sebelum mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri.

Disiarkan pada: March 25, 2017 @ 9:23am
d