mutakhir

'Penyeri' paya terancam

Oleh Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kuala Perlis: Apabila menyusuri pesisir pantai Kuala Perlis berhampiran Kampung Pulau Ketam, di sini, pasti akan dapat melihat terdapat banyak kawasan paya bakau yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan terutama ketam nipah.

Kawasan paya yang dipenuhi lumpur itu juga sering menjadi tempat nelayan menangkap ketam nipah yang mendapat permintaan tinggi daripada penggemarnya.

Namun begitu, jika habitat ketam bunga yang banyak terdapat di kawasan laut semakin terancam akibat pencerobohan kawasan bot pukat tunda yang memukat ikan berhampiran kawasan pantai, habitat ketam nipah juga mengalami masalah sama.

Ini berlaku apabila banyak kawasan paya bakau sepanjang pantai Kuala Perlis menghala ke sempadan Malaysia-Thailand terpaksa dimusnahkan demi memberi laluan kepada pembinaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Perlis dengan kos RM560 juta. Justeru kawasan paya bakau di Kampung Pulau Ketam kini menjadi lokasi peralihan habitat ketam nipah yang banyak mendiami kawasan berkenaan.

Seorang nelayan, Rosmadi Mat Isa, 47, dari Kampung Pulau Ketam berkata, sebelum ini terdapat banyak kawasan paya bakau yang menjadi lubuk ketam nipah namun selepas penolakan kawasan paya bakau sepanjang lima kilometer di pesisiran pantai Kuala Perlis sehingga ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand menyebabkan banyak habitat ketam nipah di kawasan itu musnah.

“Tidak dinafikan memang banyak ketam nipah di kawasan ini (kawasan pesisiran pantai Kuala Perlis) dan ini kerana wujudnya paya bakau yang tumbuh meliar di sini sehingga bukan saja menjadi habitat ketam nipah, tetapi a binatang lain seperti ikan tembakul serta pelbagai spesies burung.

“Namun selepas projek pembinaan RTB sejak beberapa tahun lalu dijalankan dekat kampung ini banyak kawasan paya bakau musnah sehingga mengganggu populasi ketam nipah,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Ketam, di sini.

Rosmadi yang juga peraih ketam berkata, selepas paya bakau di kawasan berkenaan dimajukan kerajaan negeri menyebabkan habitat ketam nipah banyak terarah di kawasan Kampung Pulau Ketam yang masih mempunyai kawasan hutan paya bakau yang luas.

“Memang kami menangkap ketam nipah ini untuk dijual, tetapi dalam masa yang sama, kami juga sentiasa menjaga kawasan paya bakau di sekitar kawasan ini terutama daripada perbuatan yang boleh mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Rosmadi berkata, beberapa tahun lalu dia pernah mengusahakan penternakan ketam nipah dalam kolam berhampiran suatu kawasan lumpur di tempatnya meraih ketam.

“Namun atas perkara yang tidak dapat dielakkan menyebabkan saya tidak dapat meneruskan penternakan itu sebaliknya kini saya lebih senang menjadi peraih dan dalam masa yang sama juga menangkap ketam nipah ini,” katanya.

Rosmadi berkata, selain pembangunan tidak terancang di kawasan paya bakau, habitat ketam nipah boleh musnah jika berlaku fenomena El Nino iaitu air masin terlalu banyak dan menyebabkan kematian spesies itu.

Seorang lagi nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, bagi langkah pemuliharaan, mereka tidak menangkap ketam nipah kecil yang belum boleh dimakan sebaliknya dilepaskan untuk membesar.

“Kami sebagai nelayan sering diingatkan untuk memulihara ketam nipah di sini walaupun spesies ini tidaklah begitu popular berbanding ketam laut.

“Apabila menangkap ketam nipah yang kecil kami akan melepaskannya bagi tujuan pembiakan,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2017 @ 9:32am
d