mutakhir

Nafi salah

Oleh Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Model sambilan orang kurang upaya (OKU) yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Ng Pei Ven, 19, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dalam bahasa Mandarin dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ng didakwa memandu kereta di bawah pengaruh dadah di Kilometer 134, lebuh raya berkenaan dari Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth, jam 7.50 pagi, pada 14 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun serta lucut lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani manakala tertuduh diwakili peguam M Parmjit Singh.

Terdahulu, Razali memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, selain meminta tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh sama bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jamaliah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin, selain menetapkan 12 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada Jumaat lalu, Ng mengaku tidak bersalah selepas didakwa memasukkan syabu ke dalam badannya dan dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

Bagi pertuduhan itu, Pei Ven didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Dalam kejadian Selasa minggu lalu, tertuduh memandu melawan arus dalam keadaan khayal sebelum merempuh sebuah kereta dan menyebabkan kematian pemandunya, Mohamad Fandi Rosli, 26.

Disiarkan pada: March 25, 2017 @ 9:34am
d