mutakhir

Iktiraf dakwah Muslim Care

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Saiful Hisyam Md Salleh

N’Djamena: Konsep kebajikan sambil berdakwah melalui pembinaan pusat Islam serta masjid di serata pelosok dunia cetusan idea pertubuhan Muslim Care Malaysia wajar dijadikan modul oleh badan bukan kerajaan (NGO) di negara Afrika.

Perkara itu disaran pakar akademik negara Chad selepas melihat sendiri perancangan serta pelaksanaan rapi dilakukan sukarelawan Muslim Care sepanjang berada di negara itu sejak seminggu lalu.

Malah kesudian pihak Muslim Care Malaysia memberi ceramah penerangan dan visi pertubuhan itu kepada penuntut serta tenaga pengajar Universiti Roi Faycal Du Tchad di sini, turut menimbulkan kekaguman ramai.

Melalui sesi perkongsian maklumat selama lebih 2 jam itu, Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wajihan dan Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, Zakaria Latif memberikan penerangan berhubung latar belakang NGO itu yang mula ditubuhkan sejak tahun 2005.

Penerangan yang dibantu paparan skrin bergambar turut menjelaskan pembabitan Muslim Care dalam membantu mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia, gempa bumi di Afganistan, pelarian Syria, membantu pelarian Islam Chechen di Poland, mangsa kekejaman Israel di Gaza, Palestin dan pelbagai usaha murni lain.

Ternyata kebanyakan pensyarah di universiti itu teruja dengan konsep kebajikan serta dakwah diperkenalkan Muslim Care berikutan negara itu tidak memiliki NGO tempatan yang bergerak secara agresif.

Bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) warga Chad, Mahamat Oumar Haroune berkata, kehadiran Muslim Care mencetuskan ilham kepada penuntut di universiti itu membentuk NGO tempatan.

Menurutnya, penubuhan NGO itu kelak mampu menarik minat golongan muda di negara itu untuk menjalankan aktiviti kebajikan dengan kerjasama dan bimbingan Muslim Care Malaysia.

“Malah, idea Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, Zakaria Latif untuk membina masjid hasil sumbangan rakyat Malaysia di negara itu turut menarik perhatian warga universiti ini. Kami berminat dengan reka bentuk masjid itu yang boleh menjadi ikon kepada universiti ini.

“Masjid hasil cetusan idea Zakaria itu mempunyai reka bentuk Islam unik. Alangkah bagus universiti ini mempunyai masjid seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata, warga akademi akan mengusulkan pembinaan masjid dan pusat Islam itu kepada pihak pentadbir universiti bagi memastikan impian berkenaan direalisasikan.

Menurutnya, usaha Muslim Care menyebarkan syiar Islam sambil beramal perlu disokong serta dicontohi oleh ramai pihak.

Orang ramai yang mahu menyumbang kepada pertubuhan Muslim Care Malaysia masih boleh melakukannya dengan menyalurkan sumbangan atau wakaf melalui akaun Maybank 564490413882, Bank RHB 26212000004747, Bank Islam 14014010147470 atau kepada UTM Humanitarian Mission melalui Bank CIMB 8602777801.

Disiarkan pada: March 26, 2017 @ 10:14am
d