mutakhir

Dapat mesej WhatsApp

London: Penyerang utama Westminster, Khalid Masood, 52, disyaki menerima arahan daripada ‘seseorang’ sebelum melakukan serangan solo ‘bunuh diri’ di Jambatan Westminster menyebabkan lima maut manakala 50 cedera, Rabu lalu.

Memetik laporan The Times, penyiasat antikeganasan negara itu percaya Khalid menggunakan perkhidmatan mesej berkod bertujuan menyukarkan dikesan pihak berkuasa menguatkan syak wasangka polis dia tidak bersendirian merancang serangan itu.

Dalam kejadian itu, seorang pegawai polis, Keith Palmer parah ditikam ketika cuba menghalang Khalid memasuki bangunan Parlimen selepas suspek memandu kereta sewa sepanjang laluan pejalan kaki di Jambatan Westminster menyebabkan empat terbunuh termasuk Palmer, 48.

Polis kemudian melakukan serbuan di Birmingham dan barat laut negara itu untuk mencari rakan sekutu mualaf British berkenaan dan menahan dua lelaki.

“Komunikasi terakhir Khalid bukti penting dalam siasatan ini untuk memperkukuhkan lagi dakwaan Daish yang mengaku menghantar ‘askar’ untuk melakukan serangan berkenaan.

“Hasil siasatan polis menemui mesej WhatsApp yang direkodkan pada jam 2.37 petang, tiga minit sebelum dia merempuh pejalan kaki di jambatan itu,” kata penyiasat yang enggan dikenali.

Menurutnya, pelbagai teori ditimbulkan adakah Khalid menerima ucapan selamat tinggal atau galakan sebelum kejadian itu berlaku.

“Khalid dikesan ke Arab Saudi sebanyak dua kali iaitu pada 2005 dan 2008 dan siasatan diperluaskan sama ada dia terbabit secara jelas dengan gerakan militan di sana.

“Sebelum ini, perkhidmatan perisikan Arab Saudi turut melakukan siasatan mengenai pergerakan Khalid, latar belakang dan kenalan semasa dua kali lawatan lelaki berkenaan di negara itu,” katanya.

Katanya, polis membuat 11 tangkapan, tetapi enam daripada mereka sudah dibebaskan termasuk rakan kongsi Khalid turut dibebaskan dengan ikat jamin.

Disiarkan pada: March 26, 2017 @ 10:20am
d