mutakhir

Ahmad Iszuddin & penyu

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Tidak ramai anak muda berminat menghabiskan wang, masa dan tenaga menjadi sebahagian daripada usaha menyelamatkan hidupan liar.

Tetapi, bagi Ahmad Iszuddin Ahmad Idzham, 11, dia berbeza daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya.

Pelajar tahun lima itu komited untuk menyelamatkan penyu belimbing selepas guru sains di sekolahnya menunjukkan video mengenai spesies terancam kepadanya dan rakan sekelas.

Ahmad Iszuddin diberitahu haiwan itu akan pupus di seluruh dunia dalam masa beberapa tahun lagi sekiranya sedikit usaha dilakukan untuk melindungi haiwan terbabit.

“Saya menangis dua kali melihat video itu dan apa yang saya ingin buat sekarang ialah menyelamatkan haiwan tersebut,” katanya.

Ahmad Iszuddin, yang belajar memasak daripada ibunya mengambil inisiatif membuat roti dan biskut untuk dijual kepada orang ramai di majlis tertentu, malah ada pembeli yang menghubunginya secara terus.

Setakat ini, dia memperoleh lebih daripada RM200 hasil daripada jualan roti dan biskutnya.

Namun, hasil jualan roti dan biskut itu bukan untuk keuntungan peribadi, tetapi Ahmad Iszuddin berhasrat mendermakan wang itu kepada Persatuan Pemuliharaan Penyu di Terengganu dan membantu menyelamatkan hidupan laut tersebut.

Anak bongsu daripada lima beradik itu mendapat sokongan daripada ibunya, Nor Azlina Ishak, yang melawat Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) untuk mendapat maklumat lanjut mengenai penyu belimbing.

“Saya diberitahu penyu belimbing tidak mendarat di Semenanjung Malaysia lagi. Sekali-sekala, mereka mungkin mendarat di Sabah,” kata Nor Azlina.

Rantau Abang di Terengganu satu masa dahulu mempunyai populasi terbesar penyu bertelur di dunia iaitu 10,000 sarang setahun. Bagaimanapun, kini populasi itu menurun secara mendadak berikutan pencemaran alam sekitar dan telurnya dimakan manusia.

Menurut WWF, kali terakhir penyu belimbing mendarat di Terengganu ialah pada 1993.

Organisasi itu menyatakan penyu belimbing wujud sejak lebih daripada 100 juta tahun, tetapi kini ia menghadapi kepupusan.

Pada 1980, 110,000 penyu belimbing direkodkan. Tetapi, sejak 30 tahun lepas bilangan itu mencatatkan penurunan iaitu kurang daripada 2,000 penyu belimbing betina dewasa, menjadikan haiwan itu spesies penyu paling terancam di dunia.

Nor Azlina, seorang penceramah motivasi berkata, suaminya, seorang ahli perniagaana menyokong usaha dan minat anaknya itu.

“Kami akan menyokong anak kami dalam apa sahaja minatnya kerana kami tidak mahu terlepas dalam mana-mana bahagian kehidupannya,” kata Nor Azlina.

Ahmad Iszuddin mempromosikan jualan biskut dan rotinya serta berkongsi mesej menyelamatkan penyu melalui laman Instagrammnya @iszuddin_.

“Kepada semua masyarakat di luar sana, marilah bersama-sama menyelamatkan spesies yang terancam ini,” kata si cilik itu.

Disiarkan pada: March 27, 2017 @ 12:41am
d