mutakhir

Gigih menjahit tampung hidup

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Pada usianya 26 tahun, takdir Allah menentukan dia menjanda selepas diceraikan suami dan terpaksa belajar berdikari mencari pendapatan sendiri demi menyara keluarga.

Malangnya ketika itu, Hanisah Hashim, 28, yang berdarah Orang Asli di sebelah ibunya tidak tahu melakukan apa-apa pekerjaan melainkan hanya memiliki sedikit ilmu jahitan.

Dia juga mempunyai dua anak, Nur Azzatul Qalesya Haswydi, 8, dan Muhammad Putra Qayyun, 6, yang kedua-duanya disahkan pembawa serta penghidap talasemia.

Beban kos perubatan anaknya meningkat setiap tahun dan tidak mampu ditanggung wanita itu yang hanya mengambil upah menjahit pakaian untuk kehidupan mereka tiga beranak.

Katanya, setiap bulan, kedua-dua anaknya perlu menjalani rawatan darah di Hospital Gua Musang.

“Ketika bercerai, saya tidak tahu apa-apa kerana selama ini tidak bekerja. Saya tertekan memikirkan bagaimana mahu menyara anak-anak, apatah lagi mereka mempunyai penyakit yang boleh membawa bahaya jika tidak dirawat dengan baik.

“Tuhan uji saya, namun ujian itulah menjadikan saya kuat dan tabah demi dua anak yang sangat perlukan perhatian saya. Dengan pengetahuan menjahit, saya mula mengambil upah sedikit demi sedikit dan mendalaminya lagi supaya dapat menjahit pelbagai jenis pakaian.

“Alhamdulillah, ketika ini saya boleh menjahit pakaian lelaki dan wanita dan menerima tempahan daripada Orang Asli di kawasan sekitar dan penduduk kampung berbangsa Melayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Setawa, Kuala Betis, semalam.

Menurutnya, pendapatan diterimanya setakat ini sekitar RM800 sebulan yang digunakan sepenuhnya untuk kos perubatan dua anak kesayangannya itu.

Dia mengakui bimbang dengan nasib anaknya terutama Muhammad Putra Qayyun yang kerap letih dan tidak cergas seperti kanak-kanak lain.

“Dia bergantung sepenuhnya kepada rawatan untuk kembali segar. Saya bimbang sekiranya satu masa nanti saya sukar menyediakan keperluan perubatan mereka disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Dia mengambil tempahan menjahit pakaian tanpa mengira masa asalkan dapat menyara kehidupan mereka tiga beranak.

Disiarkan pada: March 27, 2017 @ 12:49am
d