mutakhir

Kirim RM1b tanpa lesen

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seramai 15 individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan jumlah hampir RM1 bilion sejak 2012.

Mereka terdiri daripada pemilik tunggal syarikat, pengarah dan rakan kongsi yang dihadapkan di dua mahkamah berasingan membabitkan 43 pertuduhan.

Semua yang dituduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Tertuduh, Muhammad Razik Mohamad Riyaludin, 36, menghadapi 12 pertuduhan, Mohamed Thamimul Ansari, 41, (10 pertuduhan), Ter Leong Jenn, 40, (empat) dan Ramli Mohd Hassan, 59 (tiga).

Selain itu, Wong Shu Haw, 39, Noor Suhaily Harun, 27, dan Muhammad Azuwan Ismail, 22, menghadapi dua pertuduhan dan masing-masing satu pertuduhan terhadap Jihad Dudden Shaikh Alu Khan, 26, Mohamed Ali Jinah, 54, Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23, Sutanto Sanarja, 49, Tan Kim Kee, 58, Tajuddeen N Abdul Rahim, 69, Ahmad Shah Mhd Shafie, 36, serta Naina Mohammad Abd Kadar, 41.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara memberi perkhidmatan memindahkan dana bagi pihak pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara antara 2012 dan 2016.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bank Negara Steve Chin Yun Cheong dan Alvin Ong Heng Kiat manakala antara peguam yang mewakili tertuduh termasuk Mahendran Mahason, Rosli Kamaruddin dan Shaikh Saleem SM Daud.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM80,000 dan RM1 juta dengan syarat tambahan semua tertuduh mengemukakan dua penjamin warga tempatan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula untuk serahan dokumen pada 3, 4 dan 17 Mei ini.

Difahamkan, siasatan kes itu sudah dijalankan sejak tahun lalu menyebabkan semua akaun tertuduh dibekukan sebelum mereka ditahan, kelmarin.

Disiarkan pada: March 28, 2017 @ 10:13am
d