mutakhir

Tebusan RM15 juta

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kulai: Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan menculik seorang suri rumah, bulan lalu.

Keempat-empat tertuduh, Beh Joo Siong, 31, Lee Fa Xian, 30, Soh Wei Lon, 35, dan Agustinus Ratu, 39, mengaku faham akan pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang berpakaian lokap berwarna ungu di hadapan Majistret Azlan Bohari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka berempat didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas dengan niat hendak membuat tebusan menculik wanita berusia 44 tahun serta mengurungnya dengan salah di sebuah rumah kosong separa siap di Kampung Lepau, Pelantar Pengerang, Kota Tinggi sehingga wang tebusan S$5 juta (RM15.8 juta) dibayar suami mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mangsa di Jalan Nuri 26, Bandar Putra, di sini, kira-kira jam 7 malam, 21 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Colek 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sekiranya dikenakan hukuman penjara, mereka boleh disebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan DNA dan tiada ikat jamin dibenarkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Empat tertuduh itu antara 13 yang ditahan berhubung kejadian seorang isteri kepada ahli perniagaan diculik dan dibawa ke Batam, Indonesia, bulan lalu.

Antara yang ditahan berhubung kejadian itu adalah tujuh lelaki tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan empat wanita Vietnam manakala polis Indonesia turut menahan empat lelaki warganegara itu di Batam ketika menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.

Disiarkan pada: March 28, 2017 @ 10:28am
d