mutakhir

500 belia sertai JPB

Oleh Suzaini Sulaiman

Kuala Selangor: Siri Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 (JPB 2017), yang diadakan di daerah ini semalam, berjaya menarik minat 500 anak muda yang tercicir daripada arus pendidikan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, beliau semakin bersemangat untuk meneruskan siri jelajah berkenaan selepas mendapat sambutan di Sepang kelmarin dan di daerah ini semalam.

Beliau berkata, setakat ini lebih 20,000 pelajar mendaftar menggunakan aplikasi telefon pintar JBP4U.

“Seramai 10,000 pelajar sudah menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran mereka melalui program jelajah ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan JPB 2017 di Dewan UMNO Kuala Selangor, di sini, semalam.

Sahol Hamid berkata, Kuala Selangor adalah lokasi ke-14 dalam siri JPB 2017 dan terdapat 40 lagi kawasan untuk dijelajahi.

“Hari ini (semalam) kita menjelajah Selangor dan kita yakin sasaran 50,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada program ini tercapai.

“Ia berbeza dengan permohonan kemasukan di universiti biasa kerana tidak memerlukan sistem meritokrasi dan UPU (Unit Pusat Universiti).

“Keutamaan diberikan kepada pelajar miskin atau miskin bandar, lebih menggembirakan kami lagi sebanyak 19 universiti awam menyediakan tempat untuk 200 pelajar bagi setiap universiti mereka,” katanya.

Pada masa sama, Sahol Hamid berkata, beliau berpendapat sistem merit jika terus dipraktikkan akan merugikan masyarakat Bumiputera dan pelajar desa yang kebanyakannya tidak mendapat keistimewaan seperti rakan mereka yang tinggal di bandar.

“Tidak hairan pelajar bandar mampu cemerlang memandangkan terlalu banyak kemudahan mereka perolehi berbanding pelajar luar bandar yang hanya mempunyai kemudahan sistem pembelajaran sederhana.

“Kita tidak mahu mereka yang miskin ini akan kekal miskin dan yang kaya bertambah kaya. Sudah tiba masanya kita mengubah masa depan mereka dan inilah tugas kami di Destini Anak Bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2017 @ 10:42am
d