mutakhir

Rampas minyak pelincir tiruan

Klang: Hasil maklumat yang disalurkan orang awam, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor berjaya merampas 65 botol minyak pelincir dipercayai tiruan dari tiga premis berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, pihaknya menyerbu premis berkenaan sejurus menerima aduan awam kira-kira jam 11 pagi.

“Operasi barangan tiruan ini bermula kira-kira jam 1 tengah hari dan hasil pemeriksaan di tiga premis berkenaan, kami dapati semua premis itu menjual minyak pelincir disyaki tiruan.

“Oleh itu, kami merampas 65 botol minyak pelincir pelbagai jenama dan anggaran kos minyak berkenaan ialah RM7,439,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abdul Rosik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan premis yang menjual barangan tiruan dan berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama dalam membanteras produk tiruan di pasaran.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM15,000 untuk setiap unit barangan yang disita bagi pertubuhan dan jika perseorangan, mereka boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2017 @ 9:06am
d