mutakhir

Pemandu cedera kemalangan tiga lori

Kampar: Seorang lelaki cedera pada anggota badan serta kedua-dua kaki selepas lori tangki dipandu terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 249.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan tiga lori mengakibatkan seorang pemandu cedera, manakala dua pemandu lori lain tidak cedera.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu dari Kuala Lumpur menghala Ipoh hilang kawalan dan terlanggar belakang sebuah lori satu tan Hino menyebabkan kenderaan itu terlanggar bahagian belakang sebuah lori 10 tan jenis Nissan.

“Mangsa pemandu lori Daud Mahmood, 52, dari Taman Klebang Jaya Chemor di sini, luka pada bahagian badan serta kedua-dua kaki.

“Mangsa diserahkan kepada pasukan ambulans dan dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kemalangan itu kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan manakala lori Hino remuk di bahagian belakang dan depan sementara lori Nissan mengalami kerosakan di bahagian belakang.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.45 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng bergegas ke lokasi.

“Anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan tiga lori dan seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan keselamatan dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2017 @ 9:16am
d