mutakhir

Nenek nyaris hanyut

Oleh Hasbullah Azhar

Alor Gajah: Seorang nenek dan dua cucu nyaris dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap selepas rumah mereka di Kampung Taboh Naning, di sini, dinaiki air, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, Maimunah Ahmad, 69, memimpin tangan cucu lelakinya Danish Muhaiman Yusrizal Riadi, 9, manakala cucu perempuan Nurin Aina, 14, pula memeluk pinggangnya untuk meredah banjir.

Menceritakan detik cemas itu, Maimunah berkata, sebelum kejadian dia berasa tidak sedap hati menghubungi cucunya yang berada di rumah anak terletak 100 meter untuk bertanya keadaan mereka berikutan hujan lebat.

“Kerana cucu tidak jawab panggilan, saya terus ke rumah anak, dan ketika itu menantu sedang sibuk mengemaskan pakaian serta barangan penting lain sebagai persediaan untuk berpindah. Disebabkan risau terperangkap, saya terus mengajak Danish dan Nurin ke tempat tinggi.

“Walaupun air ketika itu sudah hampir mencecah paras pinggang, tetapi saya memberanikan diri untuk membawa dua beradik terbabit meredah banjir. Namun tiba-tiba arus bertukar deras menyebabkan saya semakin cemas kerana risau kami bertiga hanyut.

“Akibat ketakutan, Nurin memeluk erat pinggang manakala Danish pula memegang erat tangan saya. Mujur kami berjaya sampai ke tempat tinggi kalau tidak pasti ada perkara buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, limpahan air dari Sungai Rembau menyebabkan 100 penduduk di tiga penempatan iaitu Kampung Taboh Naning, Cherana Putih dan Jalan Minhat terjejas.

Menurutnya, hujan berterusan bermula 5.30 petang menyebabkan kawasan rendah di tiga kampung berkenaan dinaiki air sehingga paras pinggang dalam tempoh dua jam.

Katanya, seramai 30 mangsa membabitkan lapan keluarga terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Balai Raya Kampung Taboh Naning, di sini.

“Mangsa diarahkan berpindah apabilla pusat pemindahan sementara dibuka pada jam 9 malam (kelmarin), tetapi mereka sudah dibenarkan pulang jam 10 pagi tadi (semalam) selepas keadaan pulih,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2017 @ 9:14am
d