mutakhir

Hanya RM50!

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Dua penjenayah sekadar mendapat RM50 ketika mencuri duit tabung di Masjid An-Naim, Lutong di sini, berikutan tindakan pengurusan masjid mengosongkan dua daripada tiga tabung masjid itu, pagi kelmarin.

Ahli Jawatankuasa Masjid An-Naim Marli Ali berkata, kejadian berlaku 2.30 pagi apabila dua penjenayah terbabit menceroboh masjid berkenaan selepas mengumpil pintu hadapan menggunakan besi.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit kemudian membuka tiga tabung masjid menggunakan batang besi sama, namun kecewa kerana hanya sebuah tabung berisi wang.

“Mujurlah dua daripada tiga tabung berkenaan sudah dikosongkan. Cuma sebuah tabung yang tidak dikosongkan, tetapi isi tabung itu hanya RM50.

“Tindakan dua penjenayah terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid, namun wajah kedua-dua suspek tidak dapat dikesan kerana memakai topi keledar,” katanya, semalam.

Katanya, pihaknya ketika ini lebih berhati-hati kerana penjenayah sanggup berbuat apa saja, termasuk melakukan jenayah di rumah ibadat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: March 30, 2017 @ 9:25am
d