mutakhir

Hilang nyawa kereta terbalik

Oleh myMetro

Kangar: Seorang remaja maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas ke dalam parit selepas merempuh penunggang motosikal dan pokok di Kilometer 4, Jalan Changlun-Kuala Perlis, semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, mangsa, Yee Kok Hui, 21, memandu sendirian dari arah Kangar menghala ke Kuala Perlis.

Difahamkan, mangsa dipercayai baru pulang daripada mengambil bekalan daging sejuk beku untuk dijual di Kuala Perlis sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu sendirian merempuh seorang lagi penunggang motosikal dari arah sama sebelum terlanggar sebatang pokok dan terbalik ke dalam parit.

“Pemandu kereta terbabit tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggalkan dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian pada awal pagi itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTF untuk dibedah siasat bagi menyiasat punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2017 @ 9:27am
d