mutakhir

Dua polis berhati murni

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sanggup keluar duit poket sendiri untuk membantu remaja dalam kesusahan. Itu tindakan murni dua anggota polis yang membantu seorang remaja lelaki Sabah yang terkandas di pusat bandar ini.

Difahamkan remaja itu, Mohd Hanif Rafih, 18, gagal pulang ke kampung halaman bersama bapanya selepas kehilangan MyKad pada 22 Mac lalu.

Kepayahan dialami mangsa mendapat perhatian Konstabel Awang Zulhilmi Awang Indra dan Lans Koperal Risdawati Edris yang bertugas di Balai Polis Masjid India di sini.

Mereka turut mengeluarkan wang saku sendiri bagi membayar kos penginapan Mohd Hanif yang terpaksa menginap sementara di sebuah hotel di Jalan Masjid India, di sini, Sabtu lalu.

Ibu remaja itu, Puspa Japar, 49, meluahkan rasa terima kasih dengan keprihatinan kedua-dua anggota polis itu yang banyak membantu anak lelakinya sepanjang tempoh sehari terkandas di ibu kota tanpa kehadiran ahli keluarga lain.

Puspa berkata, dia bersama suami, Rafih Mohd Sih, 53, dan dua anaknya iaitu Mohd Hanif dan Sharmine Azra, 12, bercuti di Kuala Lumpur dari 17 hingga 24 Mac lalu untuk meraikan anak sulungnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pada 22 Mac lalu, Mohd Hanif memberitahu MyKad miliknya hilang menyebabkan kami membuat laporan di Balai Polis Masjid India bagi membolehkan dia menaiki penerbangan balik ke Kota Kinabalu pada 24 Mac.

“Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan menaiki penerbangan berkenaan menyebabkan kami terpaksa meninggalkannya bersendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2),” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, Mohd Hanif menaiki perkhidmatan KLIA Transit dari klia2 ke Masjid Jamek untuk ke Balai Polis Masjid India bagi mendapatkan bantuan daripada polis kerana tidak mempunyai kenalan lain di Kuala Lumpur.

“Dia menceritakan masalah dialami kepada dua anggota polis bertugas iaitu Konstabel Awang Zulhilmi dan Lans Koperal Risdawati yang membantunya dengan mengeluarkan wang sendiri bagi membayar kos penginapan Mohd Hanif di sebuah hotel di Jalan Masjid India.

“Kedua-dua anggota itu juga membantu memaklumkan masalah itu kepada Jabatan Imigresen di klia2 dan Sabah supaya Mohd Hanif boleh menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu. Saya amat bersyukur bantuan mereka membolehkan anak kembali dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, remaja lelaki itu dibenarkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada 25 Mac lalu selepas selesai urusan dengan Jabatan Imigresen.

“Remaja itu diminta datang ke klia2 untuk menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada hari terbabit dan selamat sampai ke destinasi.

“Sudah menjadi tanggungjawab anggota polis untuk memastikan keselamatan orang ramai. Tindakan kedua-dua anggota yang membantu remaja itu amat dihargai dan digalakkan agar menjadi amalan setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2017 @ 9:32am
d