mutakhir

Akur Valet Doa diarah tutup

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Pengasas Valet Doa, Hasrin Harin, 40, menerima dengan hati terbuka mengenai arahan pemberhentian operasi Laman Facebook (FB) Valet Doa.

Namun, beliau masih menunggu hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas operasi perkhidmatannya yang dilakukan sejak awal bulan ini.

“Sebelum itu, JAIS bertemu dengan saya untuk melakukan siasatan berhubung aduan awam mengenai perkhidmatan Valet Doa.

“Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang keputusan hasil siasatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Hasrin, dia berharap JAIS dan pihak berkaitan memberikan penjelasan terperinci mengenai arahan penutupan laman FB berkenaan.

“Bukan hendak membantah, sebaliknya saya akur sekiranya ia benar-benar salah, tapi biar ada penjelasan mengenainya.

“Setakat ini, selain JAIS, hanya ada satu pihak (mufti) dari negeri di pantai timur menghubunginya bagi meminta penjelasan mengenai perkhidmatan ditawarkan.

“Selebihnya, hanya memberi komen dan pandangan berdasarkan fakta salah tanpa merujuk atau menghubungi saya terlebih dahulu,” katanya.

Hasrin berkata, pihaknya tidak pernah memberi jaminan semua doa yang dibacakannya termakbul.

“Sebaliknya, saya memberi jaminan semua doa dikirim dibacakan di hadapan Kaabah.

“Selain itu, saya hanya menyiarkan mengenai cara atau masa doa dimakbulkan Allah berdasarkan apa disebut Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya,” katanya.

Menurutnya, fakta itu disalah tafsir orang ramai termasuk beberapa mufti sehingga menimbulkan tanggapan salah mengenai perkhidmatan Valet Doa.

Akhir bulan lalu, Hasrin menegaskan akan meneruskan perkhidmatan Valet Doa di samping melakukan beberapa perubahan termasuk berkaitan iklan bagi mengelakkan salah faham.

“Beberapa hari kemudian JAIS menghubungi saya dan melakukan siasatan awal bulan ini selepas menerima aduan awam mengenainya.

“Bagi menghormati siasatan berkenaan, saya mengambil keputusan tidak mengambil sebarang tempahan sehingga hasil siasatan dikeluarkan kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan JAIS dan Jabatan Mufti Selangor mengarahkan operasi laman Facebook Valet Doa dihentikan ketika menjawab pertanyaan soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang), di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau akaun FB pengasas Valet Doa dalam membasmi aktiviti yang boleh menjejaskan kesucian umat Islam selain menimbulkan kesan negatif, salah faham dan boleh merosakkan akidah.

Disiarkan pada: March 30, 2017 @ 9:46am
d