mutakhir

Nampak kepulan asap dalam CCTV

Alor Setar: “Anak saya ternampak kepulan asap dari depan kedai melalui rakaman kamera litar tutup (CCTV) sebelum menghubungi saya dan keluar menyelamatkan diri,” kata Ong Chu Eng, 62.

Dia adalah pemilik kedai perkakasan di jalan besar Kota Sarang Semut, dekat sini, yang musnah dalam kebakaran, jam 8 malam, kelmarin.

Chu Eng berkata, dia kerugian RM800,000 apabila kedai perkakasan yang diusahakan sejak 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran terbabit.

Menurutnya, dia berada di rumahnya di Taman Wawasan, Kota Sarang Semut, ketika dihubungi anak lelakinya, Ong Hong Sam, 27, yang ternampak kepulan asap melalui CCTV di depan kedai.

Katanya, dia bergegas ke kedainya bagi memeriksa dan tergamam melihat api marak ketika tiba di premis itu.

“Anak lelaki saya tinggal di tingkat atas kedai bagi membantu saya memantau keselamatan premis,” katanya.

Chu Eng berkata, beberapa pekerja kilang beras berdekatan turut membantu mengawal api dengan alat pemadam api.

“Namun usaha mereka gagal kerana api terlalu marak dan menunggu bantuan bomba,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2017 @ 3:50am
d