mutakhir

Majoriti belum letak papan tanda elektronik

Kuala Lumpur: Rata-rata stesen minyak di seluruh negara masih belum meletakkan papan tanda elektronik harga bahan bakar di hadapan premis untuk rujukan pengguna secara mingguan.

Di Kota Bharu, pengusaha stesen minyak memilih memberitahu perubahan harga itu di kaunter pembayaran menerusi tulisan tangan di atas kertas.

Tiada juga stesen yang ditinjau di Jalan Kuala Krai, Jalan Bayam, Jalan Sultan Yahya Petra dan Pasir Pekan, Tumpat menjual petrol dan diesel mereka dengan kadar lain daripada yang sudah ditetapkan kerajaan.

Semalam, harga baru bahan bakar mulai 30 Mac hingga 5 April ini ditetapkan pada kadar RM2.13 untuk RON95, RON97 (RM2.41) dan diesel (RM2.11).

Penyelia Stesen Minyak Petronas Jalan Bayam, Ilwan Mohd Sayuti, 38, berkata, pihak pengurusan stesennya merancang memasang papan tanda LED di laluan masuk ke stesen minyak itu untuk memudahkan pelanggannya melihat harga berubah setiap minggu.

“Papan tanda akan memudahkan pengguna mengetahui harga semasa bahan api.

“Sebagai pengguna dan pekerja di stesen minyak, saya mengakui perubahan harga terbaru ini meringankan beban, selain dapat merancang perbelanjaan untuk kegunaan bahan api setiap bulan,” katanya.

Di Ipoh, hampir semua stesen minyak di bandar raya ini belum memasang papan harga elektronik namun kebanyakan pengusaha menerima baik cadangan sistem itu bagi memaparkan penetapan harga mingguan itu.

Disiarkan pada: March 31, 2017 @ 4:12am
d