mutakhir

Bazar malam sepi

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Peniaga menjual barangan sama dan kurang berkualiti terutama membabitkan pakaian dan produk kesihatan menyebabkan orang ramai kurang berkunjung ke bazar larut malam di sekitar bandar raya ini.

Malah, bazar larut malam di beberapa kawasan tertentu turut didakwa kurang berseri atau meriah disebabkan tiada keistimewaan dan daya penarik hingga tidak mampu menggamit hati setiap pengunjung.

Seorang pekerja swasta, Al Bukhari Yusnan, 30, berkata, kebanyakan bazar larut malam hanya menjual barangan sama membabitkan pakaian, kasut, aksesori telefon bimbit dan beg.

“Sebelum ini, bazar larut malam mempunyai ‘busking’ atau program khusus untuk pengunjung yang datang sekali gus merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan orang ramai pun seronok.

“Sekarang ini, bazar larut malam tidak lagi sesuai dijadikan sebagai lokasi bersantai dan tiada lagi keseronokan buat pengunjung untuk menghabiskan cuti hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, pegawai swasta, Abdul Rahman Chik, 52, berkata, kebanyakan barangan yang dijual di bazar larut malam terlalu mahal dan tidak munasabah hingga membebankan orang ramai.

“Ada sesetengah bazar larut malam juga tidak mempunyai kemudahan sempurna selain tidak diselenggara dengan baik hingga menyusahkan orang ramai.

“Selain itu, pihak pengurusan perlulah memantau setiap barang jualan peniaga iaitu mempelbagaikan produk supaya dapat menarik minat orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: April 1, 2017 @ 9:00am
d