mutakhir

'Kalaulah saya tahu...'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Ini kali pertama dia ke sungai itu untuk bermain bersama kawan sekelasnya.

“Jika saya tahu dia mahu ke sungai berkenaan ketika hujan semalam (kelmarin), pasti saya menghalangnya,” kata Surimin Suparman, 55, bapa kepada kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Serai, Kampung Sentosa, Cahaya Baru Masai, dekat sini, sejak petang kelmarin.

Menurut Surimin, anak bongsu daripada enam beradik, Muhammad Faiz, 12, pada mulanya bermain bola sepak bersama kawan-kawannya di padang sekolah selepas tamat sesi persekolahan jam 2.30 petang.

Katanya, ketika isterinya, Rushedah Samir, 50, yang berniaga kecil-kecilan di sekolah sama, Sekolah Kebangsaan Cahaya Baru mengajaknya pulang, Muhammad Faiz memberitahu akan menyusul kemudian kerana bermain bola sepak.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Faiz tidak pulang sehingga jam 5.30 petang menyebabkan mereka sekeluarga risau.

“Isteri saya ke rumah kawan yang dilihat bermain bola bersama anak, namun dia memberitahu tidak tahu anak saya di mana sehinggalah jam 7.30 malam apabila seorang lagi rakan anak memberitahu Muhammad Faiz tenggelam di dalam sungai.

“Isteri kemudian ke rumah rakan anak yang pertama ditanyanya tadi. Selepas dimarahi bapanya kerana keluar bermain ketika hujan, barulah rakannya itu mengaku anak saya tenggelam,” katanya yang kemudian membuat laporan polis dan memaklumkan kepada bomba.

Surimin berkata, dia kemudian mencari anaknya di kawasan sungai dan menemui kasut serta pakaian anaknya yang ditinggalkan di tepi sungai.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Azman Samir, 33, berkata, sejurus mendapat tahu mengenai kejadian terbabit, dia dan 13 penduduk kampung bergegas ke sungai membantu mencari Muhammad Faiz.

“Keadaan sungai itu sangat bahaya kerana arus deras dan permukaannya berpasir, malah ada antara kami yang cuba mencari Muhammad Faiz hampir tenggelam,” katanya yang mengikat tali pada badan sekumpulan penduduk kampung demi keselamatan masing-masing ketika mencari mangsa.

Sehingga jam 4 petang semalam, pasukan bomba dan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: April 1, 2017 @ 9:22am
d